Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Aktiviti sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dibenarkan mulai 8 Mei ini.

Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini telah mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat semula keputusan mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei 2021.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rentetan pertimbangan itu MKN telah membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi dijalankan berkuatkuasa mulai Sabtu ini.

“Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal, senaman dan lain-lain dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter dan dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

“Kini ia boleh dijalankan berkuatkuasa bermula esok (8 Mei 2021),” katanya menerusi kenyataan media dalam Facebook rasmi KBS malam ini.

Sementara itu katanya, kelonggaran-kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya selepas ini.

Dalam perkembangan berkaitan kelonggaran SOP berkenaan, Reezal merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas telah menzahirkan terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Reezal turut menyeru para peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini tanpa mengingkari SOP yang ditetapkan.

“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan Covid-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan” tambah beliau.-MalaysiaGazette