Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) Khairy Jamaluddin AstraZeneca NPRA Sekhar Foundation
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 2,800 temujanji bagi suntikan vaksin AstraZeneca yang sepatutnya berlangsung di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) akan dijadualkan semula ke tarikh lain.

Menteri Penyelaras Program Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan, ia membabitkan penerima yang dijadualkan menerima suntikan itu pada 15 dan 16 Mei.

Langkah itu katanya adalah bagi mengelakkan kesesakan di pusat vaksinasi, berikutan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 pada masa ini.

“Sebagai langkah berjaga-jaga sejumlah janji temu pada 15 haribulan dan 16 haribulan Mei di Pusat WTCKL perlu dipinda ke tarikh yang lain untuk elak kesesakan disebabkan kes-kes yang meningkat.

“Sebanyak 19,000 janji temu yang telah ditetapkan pada dua hari tersebut perlu dijadualkan semula kerana disebabkan kapasiti.

“2,800 temujanji akan dijadualkan semula dari 17 hingga 23 Mei nanti. Mereka akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera mulai esok,” katanya pada sidang media yang turut diserta bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Menurut Khairy lagi, kerajaan akan meningkatkan lagi langkah untuk memastikan adanya penjarakan fizikal di WTCKL dan pada masa yang sama CITF akan menambahkan bilangan dewan yang akan digunakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkenaan.

Dalam pada itu Khairy memberitahu, kadar penggunaan vaksinasi di negara ini adalah 75 peratus.

Katanya, ia bermakna kadar setiap empat vaksin yang ada tiga daripadanya telahpun digunakan.

“Sememangnya kami ingin meningkatkan kadar ini ke 80 peratus tetapi sudah pastinya tidak boleh pergi lebih tinggi kepada peratus ini kerana perlu ada simpanan dos kedua sebelum dos-dos tambahan ini tiba,” tambahnya. – MalaysiaGazette