foto AFFAN FAUZI, 07 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pelayar asing yang berada di perairan Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan terus berada dalam negara ini sehingga 31 Disember 2021.

Bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud, pelayar asing perlu mendapatkan Pas Lawatan Sosial (PLS) daripada Pejabat Imigresen yang berdekatan.

“Semua permohonan mesti disertakan surat pengesahan dari Kedutaan masing-masing dan surat sokongan dari pengusaha atau pemilik marina di mana mereka berlabuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat menerusi perbincangan JIM bersama pengusaha dan persatuan marina Malaysia secara persidangan video baru-baru ini.

“Perbincangan berkenaan berkisar mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh pelayar-pelayar asing bagi membolehkan mereka terus tinggal dan berlabuh di marina-marina berkaitan selepas 21 April 2021,” jelasnya.

Setakat 10 Mei 2021, terdapat kira kira 138 pelayar asing yang dikesan oleh JIM telah berlabuh secara sah di sekitar perairan Malaysia.

Namun terdapat juga dalam kalangan pelayar asing ini yang berlabuh secara haram dan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan. – MalaysiaGazette