Azhar memeriksa dokumen pemandu sebuah kereta yang melalui SJR di Kulim hari ini.

KULIM – Polis Daerah Kulim memperketatkan penguatkuasaan di empat Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran sempadan Pulau Pinang bagi memastikan tiada individu merentas negeri khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, keutamaan di SJR berkenaan bagi memastikan mana-mana pihak yang keluar masuk ke daerah Kulim mempunyai surat kebenaran rentas negeri seperti termaktub dalam peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Empat SJR itu ialah di Jalan Junjung, Jalan Sidam Kanan, Jalan Ekor Kucing dan Jalan Serdang.

“Sesiapa yang gagal mengemukakan dokumen akan diarah berpatah balik atau dikenakan kompaun.

Azhar memeriksa dokumen seorang pemandu kereta ketika melalui SJR di Kulim hari ini.

“Berdasarkan pemantauan pagi tadi sebanyak 18 kenderaan telah diarah berpatah balik disebabkan alasan yang tidak munasabah.

“Antara alasan yang digunakan untuk merentas termasuk menghantar barang dan melawat keluarga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Azhar, sebanyak 303 kompaun telah dikeluarkan pihaknya sejak dari awal PKP dilaksanakan pada bulan Mac 2020 sehingga hari ini.

“Selain itu, seramai 20 pegawai dan 80 anggota telah digerakkan setiap hari untuk memantau kawasan tumpuan orang ramai terutama di pasaraya dan juga pasar pagi serta pasar basah bagi memastikan pematuhan SOP.

“Tindakan itu dibuat susulan peningkatan kes positif wabak Covid-19 yang masih belum mencatatkan pengurangan dalam daerah Kulim ketika ini.

“Saya harap semua lapisan masyarakat di Kulim mematuhi SOP agar rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan,” ujar Azhar. – MalaysiaGazette