Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2021.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan bayi lelaki berusia 9 bulan diliwat dan dibunuh oleh suami pengasuhnya pada 27 April yang lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bayi berkenaan dihantar sendiri oleh suspek ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat lebam pada mulut bayi dipercayai kesan ditekup sehingga mangsa meninggal dunia.

Bayi berkenaan turut mengalami kesan koyak pada duburnya.

Pengasuh dan suaminya yang merupakan warga tempatan berumur 36 tahun telah ditangkap di kediaman mereka di Kelana Jaya pada 29 April 2021.

Alat seks bersama beberapa barang lain turut dirampas ketika tangkapan dibuat.

“Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah merampas pelbagai barangan yang disyaki telah digunakan dalam kejadian.

“Antaranya ialah dua lampin pakai buang, sehelai kain warna putih, sehelai seluar, karpet bercorak merah hitam, sehelai seluar pendek, sehelai baju lengan pendek dan cecair nyah kuman,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air mendapati pasangan suami isteri itu positif dadah jenis syabu.

Katany, hasil siasatan polis mempercayai, bayi berkenaan diliwat selepas ditinggal bersama dengan suami pengasuh di bilik mereka selama lebih kurang dua jam.

Menurut Fakhrudin, kedua-dua suspek direman selama 13 hari bermula 30 April dan akan dituduh 12 Mei 2021.

Suami pengasuh itu  disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala pengasuh akan dituduh di bawab Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Untuk rekod, kes itu tercetus apabila IPD Petaling Jaya telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh menyatakan menerima pesakit yang merupakan bayi berkenaan pada 7 malam 27 April dalam keadaan tidak sedarkan diri.- MalaysiaGazette

Bayi 9 bulan mati disyaki dibunuh pengasuh, kesan cedera di dubur

1 Komen

Comments are closed.