Mayat seorang bayi lelaki ditemui di bawah jenjantas di Jalan Jepun, Kampung Delek, Klang semalam.- gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang suspek lelaki yang merupakan pengasuh kerana disyaki telah membunuh bayi berusia sembilan bulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrul Abdul Hamid berkata, pada 27 April lalu,  pengadu yang juga seorang doktor di sebuah hospital kerajaan di Selangor telah menerima seorang pesakit bayi berusia sembilan bulan dalam keadaan tidak sedar diri.

Menurut doktor itu bayi itu dibawa oleh seorang lelaki warga tempatan dipercayai pengasuh mangsa.

“Hasil bedah siasat pula mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian mulut dan kecederaan di bahagian dubur mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis  telah berjaya menahan sepasang suami isteri warga tempatan  semalam sekitar jam 8 malam.

“Kedua-suspek berusia 35 tahun dan ditahan di sebuah rumah di Pangsapuri Jalan 1A/42 Kelana Jaya. Keterangan saksi juga telah membantu siasatan polis terhadap kedua-dua suspek,” katanya.

Semakan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau kes dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah.

“Pasangan itu direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” tegasnya.-MalaysiaGazette