GEORGE TOWN – Sebanyak 2,836 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang dalam Ops Samseng Jalanan di negeri itu.
Saman itu dikeluarkan dalam tempoh 16 bulan bermula Januari tahun lepas hingga April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, jumlah saman yang dikeluarkan membabitkan 119 operasi dijalankan pihaknya.
Jelas beliau, dalam tempoh yang sama sebanyak 495 motosikal disita.
“Walaupun dalam tempoh tersebut kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun masih ada segelintir samseng jalanan ‘beraksi’ di atas jalan raya.
“Bagaimanapun, kita berjaya membendung aktiviti tidak bermoral itu dengan mengadakan operasi lebih kerap di lokasi-lokasi yang dikenal pasti selain bertindak atas maklumat awam,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu temu bual khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang baru-baru ini.
Mengulas mengenai tangkapan, Zafri menegaskan seramai 192 individu diberkas menerusi Ops Samseng Jalanan di negeri itu.
Jelas beliau, berdasarkan statistik tangkapan, rata-rata samseng jalanan yang diberkas berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
“Selain golongan belia, seramai 75 individu bawah umur turut ditahan dalam tempoh Januari tahun 2020 hingga April lalu.
“Dari segi pekerjaan pula, pelajar paling ramai ditahan iaitu seramai 65 orang diikuti dengan pekerja swasta (48); pengganggur (7) dan lain-lain 72,” kata Zafri.
Tambah Zafri, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam isu ini khususnya memantau aktiviti anak-anak mereka yang keluar rumah pada malam hari agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang mampu meragut nyawa.
“Selalunya bila kita minta ibu bapa tampil ke balai susulan penahanan anak atas kesalahan merempit mesti mereka mendakwa tidak tahun aktiviti anak itu.
“Sikap tidak ambil peduli aktiviti anak yang meningkat dewasa perlu dibuang oleh masyarakat bagi memastikan golongan muda itu tidak terjebak dengan aktiviti sosial yang memudaratkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Tahniah sita motosikal setan rempit untuk dilelong dengan harga mampu milik kepada yang memerlukan motosikal tanpa ada rekod sebagai setan rempit.