Foto Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru para petugas barisan hadapan negara terus berjuang menentang wabak Covid-19.

Katanya, petugas barisan hadapan adalah benteng pertahanan negara dalam melawan jangkitan Covid-19 terutamanya dengan kehadiran varian-varian baharu virus itu yang semakin mengganas dan menjangkiti lebih ramai orang dengan cepat dan mengakibat kes  kematian semakin tinggi.

“Walaupun kita kelesuan mental dan fiskal marilah kita bersama beristiqamahlah dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita.

“Bertawakkal kepada Allah SWT atas segala dugaan dan cabaran ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Dr Noor Hisham turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga kerja dan pesakit di Hospital Kementerian Kesihatan.

Beliau juga mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat yang disayangi.

Dr Noor Hisham turut menyertakan dua rangkap pantun sempena kedatangan Syawal.

Memikat selera ketupat dan rendang,

Hidangan Raya menjamu tetangga;

Disambut gembira Syawal bertandang,

Raikan bersama Keluarga tercinta.

 

Berwarna biru cantik menawan,

Serasi busana dipakai keluarga;

Norma baharu menjadi panduan,

SOP dijaga selamat bersama

— MalaysiaGazette