Temubual bersama Norlida Abu Hassan mengenai anak angkatnya, Allahyarham Amir atau Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia dalam tong air pada 30 Januari lalu di Bukit Beruntung, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tibanya 1 Syawal, hari yang dinanti-nantikan buat setiap muslimin dan muslimat menyambut hari kemenangan selepas mengharungi Ramadan selama sebulan.

Lazimnya, Syawal selalunya diraikan dengan penuh kegembiraan setiap keluarga, namun tidak bagi Norlida Abu Hassan.

Baginya, Aidilfitri kali ini sangat berbeza, sangat sunyi.

Bukan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan buat kali kedua untuk kali ini, tetapi kerana tiada lagi Amir atau Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek disisinya.

Tiada lagi keletah anak angkat yang ditatangnya bagai minyak yang penuh pada hari kemenangan umat Islam pada tahun ini.

Walaupun Aidilfitri pada tahun lalu diraikan juga dalam tempoh pelaksanaan PKP, namun Norlida sekeluarga tidak rasa sunyi kerana Amir masih ada ketika itu.

“Hari Raya tahun ini tidak ceria macam tahun-tahun lepas, tahun lepas walaupun raya dalam PKP, dia masih ada. Tapi tahun ini umi pun kuih raya langsung tidak buat tahun ini. Tidak tahulah nak buat ketupat atau tidak tahun ini. Kalau tidak, buat sebab dia suka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Temubual bersama Norlida Abu Hassan menunjukkan baju anak angkatnya, Allahyarham Amir atau Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia dalam tong air pada 30 Januari lalu di Bukit Beruntung, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

Pada ada 30 Januari lalu, Allahyarham Amir ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam pada anggota badannya.

Mengimbas kenangan terakhir beraya bersama Amir pada tahun lalu, air mata Norlida atau mesra disapa sebagai umi tidak lagi terbendung.

Katanya, Syawal 2020 adalah kali terakhir anak angkatnya menyarung baju Melayu yang dibelikannya.

Biskut raya kegemaran Amir adalah Almond London manakala juadah yang disukainya pula ketupat palas.

“Raya tahun lepas adalah terakhir dengan dia, dia sahaja pakai baju Melayu baharu, umi keluar belikan juga untuk dia, balik baru perasan umi ada baju sama warna dengan arwah. Dia suka satu warna dengan umi.

“Dia budak baik, tidak mendatangkan masalah, tidak meminta-minta sangat baik. Ketupat palas dia suka, sebab dia tahu keluarga umi di Kedah dia pernah makan. Tahun lepas umi buat , dia suka. Itu kali terakhir dia makan, dia kata sama macam ketupat palas Atok di Kedah,”tambahnya.

Ujar wanita berumur 50 tahun itu, anak angkatnya sanggup menemaninya menganyam ketupat palas kerana semangat untuk makan juadah kegemarannya.

Namun kini, tiada lagi keletah anak angkatnya yang penuh ceria itu. Keceriaannya sebelum ini sering menggamit seisi keluarga, memenuhi setiap kesunyian.

Kata Norlida, tidak ada satu hari yang dilaluinya tanpa mengingati Amir, rindunya terlalu menggunung terhadap anak angkat yang dijaganya selama enam tahun seperti zuriatnya sendiri.

Gambar-gambar lama Allahyarham Amir atau Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia dalam tong air pada 30 Januari lalu di Bukit Beruntung, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

Bayangan wajah anak kecil itu sentiasa bermain di fikirannya, sentiasa kelihatan di sudut rumahnya, di Taman Kemboja, Bukit Sentosa.

Bukan hanya dirinya, malah abang dan kakak-kakak angkat Amir turut sentiasa mengingatinya sehingga ke saat ini.

“Bila kami berkumpul di ruang tamu, selepas tarawih mesti cerita Amir cerita lucu, mesti ada menyebut nama dia. Yang lucu, kelakar-kelakar.

“Setiap kali berdoa umi minta ditemukan kami di syurga walaupun umi hanya mak angkatnya. Di bayangan fikiran umi sentiasa ada wajah Amir, tidak boleh buat apa. Umi pun rasa hairan Allah tiup perasaan kasih sayang sebegini terhadap Amir. Perasaan kasih di kasih sangat tinggi,” ujarnya.

Meskipun redha dengan pemergian Amir, namun Norlida masih mengumpul kekuatan dan semangat untuk menerima hakikat bahawa anak angkat itu kini telah tiada.

Walaupun sedari tidak berhak untuk menjatuhkan hukuman, namun jauh di sudut hati wanita itu, beliau berharap agar kematian anak angkatnya mendapat keadilan.

“Sesiapa yang bersalah berhak dapat hukuman, tapi siapa umi nak menuduh, menjatuhkan hukuman kita tidak tahu siapa yang bersalah, kematian sebab apa tidak tahu mungkin Amir jatuh, minta kepada mahkamah umi berdoa ditunjukkan kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast