Bayern Munich tidak memerlukan khidmat Haaland.

LONDON – Bayern Munich menarik diri daripada mendapatkan bintang muda Erling Haaland dari Borussia Dortmund akhir musim ini.

Juara Bundesliga Jerman musim ini mengambil pendirian tidak mahu terburu-buru dan menandatangani pemain antarabangsa Sweden itu.

Oliver Kahn yang bakal menerajui jawatan ketua pegawai eksekutif kelab itu merasakan pihaknya tidak perlu bertindak gila mengeluarkan dana besar €100 juta untuk mendapatkan pemain muda itu dengan mengambil kira keadaan kewangannya.

Haaland, 20, telah berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain prolifik dalam dunia bola sepak Eropah apabila menjaringkan 53 gol dalam 56 perlawanan sejak berpindah dari RB Salzburg musim lalu.

Manchester United, Chelsea dan Manchester City meletakkan tawaran lumayan untuk pemain berbisa itu.

Namun oleh kerana sikap Dortmund meminta wang berjumlah £86 juta untuk binatang muda itu, Bayern tidak mahu bersikap boros dalam perkara itu.

Malah, Kahn menjelaskan bahawa Bayern tidak berada dalam situasi terdesak untuk melabur untuk pemain itu.

“Tidak ada keperluan terdesak untuk kami membeli pemain itu memandangkan penyerang sedia ada Robert Lewandowski tidak hilang sengat dan masih menyerlah di hadapan pintu gol musim ini.

“Robert masih mempunyai kontrak dua tahun bersama Bayern di sini dan aksinya di atas padang masih tidak boleh dipersoalkan apabila menjaringkan 39 gol dalam Bundesliga musim ini.

“Untuk itu, kami tidak perlu pening kepala memikirkan mengenai khidmat Haaland buat masa ini.

“Robert boleh beraksi dengan tahap prestasi yang dimilikinya untuk beberapa tahun akan datang,’ katanya.

Sebelum ini kelab Dortmund itu juga bertegas Haaland akan kekal di kelab itu sambil menolak dakwaan ejen pemain itu Mino Raiola bahawa pemain itu sangat dikehendaki oleh kelab-kelab elit Eropah.

“Kami tahu Raiola (ejen Haaland) dan kami tak ambil kisah dengan komen dia. Haaland akan kekal sebagai pemain Dortmund tahun depan,” kata kelab itu. – MalaysiaGazette