Lokasi Esszone

KOTA KINABALU – Perintah Berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini dilanjutkan hingga 30 Mei depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata perintah itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar dari 6 petang hingga 6 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZone.

“Maklumat mendedahkan, kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya.

Hazani berkata, arahan itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, perintah itu juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast