ACP Mohamad Noor Yusof Ali

KUANTAN – Penduduk sekitar Kemunting, Kuantan dinasihatkan agar jangan panik dan tidak meninggalkan lokaliti tersebut selepas kawasan itu bakal dilaksanakan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 17 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, penduduk akan membahayakan orang lain jika bertindak keluar daripada taman tersebut diambil sebelum PKPD dilakasanakan.

“Pihak Polis Diraja Malaysia akan mengatur gerak sebaik mungkin dan telah membuat penelitian kawasan Kemunting.

“Kita sedang berusaha buat yang terbaik buat semua  dan berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti biasa.

“Dari petang tadi, pasukan pemantau diarahkan untuk mengelakkan penduduk di situ keluar dan memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” kata Mohamad Noor.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette sejurus Kerajaan Persekutuan mengumumkan PKPD akan dilaksanakan pada Isnin ini, bermula 17 Mei sehingga 30 Mei 2021 di Kemunting.

Justeru pihaknya menasihati penduduk supaya kekal tenang supaya insiden yang berlaku di Tanah Putih Baru tidak berulang yang boleh menyebabkan kadar kes meningkat di daerah ini.

“Pasukan MPVsudah  buat pengumuman dan menasihati  penduduk bertenang dan kekal berada di kediaman masing-masing.

“Ikut dan patuhi arahan serta  nasihat pihak berkuasa, janganlah bertindak meninggalkan kediaman dan keluar dari taman ini.

“Jangan panik, tindakan keluar atau lari boleh megundang bahaya wabak merebak.” – MalaysiaGazette