Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kapal-kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi/pemeriksaan ‘Maritime Declaration of Health’ oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Cuma mana-mana kapal termasuk dari negara India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran daripada KKM untuk berlabuh.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan MKN bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara.

Keputusan itu dibuat pada 26 April lalu ketika beliau mempengerusikan persidangan televideo bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan di bawah MOT untuk menyampaikan strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mencegah wabak varian yang berasal dari negara India daripada memasuki Malaysia.

Katanya, strategi ini dikuatkuasakan mulai 28 April 2021.

Menurut beliau, anak-anak kapal daripada semua kapal yang berlabuh di semua pelabuhan dalam Malaysia tidak dibenarkan ‘sign off’ (turun daripada kapal) di seluruh pelabuhan negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021 bagi membendung penularan wabak.

Bagaimanapun, menurut beliau, pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dan mereka juga diwajibkan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditentukan oleh kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain diberi kebenaran untuk berlabuh, semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan oleh KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.

Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga adalah tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM.

Malah, semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja lashing dan stevedore)
TANPA sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.

Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi/merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KKM termasuklah memakai
PPE dan pelitup muka.

Tambah beliau, pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan bersandarkan kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran oleh JLM termasuk pihak berkuasa di pelabuhan-pelabuhan yang berkenaan.

Ka Siong menambah, Jabatan Laut Malaysia juga akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di Malaysia.

Mereka akan saling bekerjasama berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, interaksi ship-shore, larangan beroperasi dan lain-lain aktiviti yang berkenaan.

Kementerian Pengangkutan pula, katanya, akan terus memastikan segala SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan. – MalaysiaGazette

Kapal dari India tidak wajib kuarantin