Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak itu akan menghadap Seri Paduka dalam masa terdekat kerana penggal terkini DUN Sarawak akan berakhir pada 6 Jun ini.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Abang Johari merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak telah menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan memaklumkan mengenai perkara itu.

Menurut Alexander, Abang Johari memaklumkan bahawa mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, tempoh DUN tamat sepenuhnya pada 6 Jun ini iaitu lima tahun dari 7 Jun 2016 lalu iaitu tarikh mesyuarat pertama DUN selepas Pilihan Raya Sarawak
2016.

“Oleh sebab Darurat Kesihatan pandemik Covid-19 diisytiharkan sehingga 1 Ogos ini, pembubaran DUN akan ditetapkan pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-
Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri
Sarawak.

“Ketua Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara ini dan kita yakin di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam perkara ini,” kata Alexander dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu dibincangkan dan diambil selepas Majlis Mesyuarat Tertinggi GPS yang diadakan semalam dengan dipengerusikan oleh Abang Johari.

Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menambah bahawa dalam norma biasa, DUN sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat untuk memilih kerajaan melalui Pilihan Raya.

Namun katanya, kluasa dalam perlembagaan itu tidak akan terpakai disebabkan Ordinan Darurat Covid-19 yang sedang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos ini.-MalaysiaGazette