Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sehingga kini masih gagal menangani krisis Palestin-Israel dengan sewajarnya.

Badan itu dengan tegas mengutuk pengusiran paksa rakyat Palestin, peningkatan keganasan terhadap orang awam dan serangan udara antara Palestin dan Israel.

Keganasan yang bermula sejak seminggu lalu pada bulan Ramadan yang sehingga kini telah mengorbankan 148 orang di Gaza, termasuk 41 orang kanak-kanak.

Menurutnya, Israel berterusan melakukan kekejaman sedemikian di Palestin.

‘Piagam PBB dengan jelas menyatakan bahawa ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap negara-negara lain adalah menyalahi undang-undang dan termaktub dalam Perkara 2(4) bahawa “Seluruh anggota, dalam hubungan antarabangsanya, harus mengelakkan daripada tindakan mengancam atau menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik suatu negara lain, atau dengan apa cara sekali pun yang bertentangan dengan Matlamat PBB”.

Malah, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet menggesa semua pihak untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan semua pihak harus mengambil langkah-langkah bagi meredakan keadaan yang semakin membimbangkan di Israel dan Wilayah Palestin.

Kekejaman ini bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia dan Suhakam bimbang dengan situasi kemanusiaan yang kritikal dan semakin parah di Palestin.

Suhakam berharap agar keutamaan dapat diberikan kepada bantuan kemanusiaan dengan mengambil kira situasi semasa darurat dan langkah-langkah yang lebih berkesan dapat diambil bagi melindungi dan memelihara nyawa serta maruah setiap individu, termasuk wanita dan anak-anak.

Bagi melindungi kebebasan media, serangan ganas terhadap media harus segera dihentikan, katanya.

Suhakam juga menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB segera menamatkan segala bentuk keganasan yang dilakukan oleh Israel dan usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

Dengan ini, katanya, Suhakam menyertai seluruh rakyat Malaysia dalam menyokong ikrar dan bersolidariti dengan rakyat Palestin. – MalaysiaGazette