Penduduk, Faezah Farok, 42 bercakap kepada media selepas melakukan ujian saringan COVID-19 secara percuma ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Keramat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2021.

AMPANG – Peningkatan kes positif Covid-19 di Selangor ternyata membimbangkan penduduk di negeri itu.

Oleh sebab itu, timbul kesedaran dalam kalangan penduduk negeri berkenaan untuk secara sukarela membuat ujian saringan Covid-19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 hari ini.

Bagi warga emas seperti Mohd Adani Ahmad, 64, beliau membuat ujian saringan Covid-19 hari ini supaya dapat mengetahui status kesihatannya, berikutan penularan kes di Selangor semenjak kebelakangan ini semakin meningkat mendadak.

“Kes sekarang makin tinggi kita kena ambik langkah berjaga-jaga yang lebih.Sebab kita tahu daripada group Whatsapp rukun tetangga jadi buatlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seorang pekerja swasta Faezah Farok, 42 tahun pula berpendapat bahawa program ujian saringan percuma seperti yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor boleh mengawal penularan sporadik dalam kalangan komuniti.

“Disebabkan sekarang banyak kes jadi saya cuba, mereka pun beri ujian saringan secara percuma jadi kita tidak tahu sama ada kita pembawa atau tidak jadi bila ada gejala cubalah.

“Program begini bagus untuk rakyat sebab tidak semua orang mampu, walaupun kalau mampu masih ada ketakutan nak pergi buat ujian saringan sebenarnya sebab sendiri-sendiri kalau ramai-ramai macam ni kita tidak rasa begitu takut,” katanya.

Penduduk, Mohd Azli Hamri,47, bercakap kepada media selepas melakukan ujian saringan COVID-19 secara percuma ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Keramat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2021.

Sementara itu Mohd Azli Hamri,47 yang merupakan Penguatkuasa RapidKL berkata, kesedaran terhadap dirinya dan keluarga terhadap tanggungjawab rakyat dalam negara untuk mengekang penularan wabak Covid-19  menjadi faktor beliau melakukan ujian saringan pada hari ini, di sini.

Meskipun sebelum ini telah menjalani ujian saringan di klinik swasta namun, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk sekali lagi menjalani ujian hari ini demi mengetahui status kesihatan dirinya.

Jelasnya, apa yang membimbangkan adalah apabila seseorang itu mampu menyebarkan wabak meskipun tidak bergejala.

“Peningkatan kes di Selangor itu punca utama buat saringan hari ini sebab keluarga pun sudah buat saringan di klinik swasta tapi kami buat lagi kali kedua,” ujarnya.

Kerajaan negeri Selangor mengadakan Program Saringan Covid-19 Percuma Negeri Selangor di daerah Ginbak dan Petaling jaya.

Sebanyak tujuh lokasi saringan di daerah Gombak manakala lima di dalam daerah Petaling jaya yang bermula hari ini sehingga 24 Mei 2021.

Untuk rekod, semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes harian positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,650 kes.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast