Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Yan, Kedah telah diwartakan sebagai salah sebuah Pelabuhan Persekutuan pada 10 Mei lalu di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Serentak itu, suatu had pelabuhan juga telah diisytiharkan di dalam warta sama melibatkan keluasan perairan 600 kilometer (km) persegi dengan mengambil kira jarak sejauh lebih kurang 20 batu nautika dari pantai Yan di bawah Seksyen 6 Ordinan yang sama.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pembangunan di Yan sebagai sebuah pelabuhan yang dijangka dapat meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar daerah itu.

Menurutnya, cadangan pembangunan itu turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan, sekali gus berupaya menjana ekonomi negara amnya dan negeri Kedah khususnya.

Pelabuhan ini juga akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), selaku agensi utama di bawah MOT yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.

Sebagai latar belakang, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Wilayah Utara dengan merangka strategi pengembangan dan pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah berhasrat untuk melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di Perairan Yan, Kedah.

Antara tanggungjawab JLM adalah untuk memastikan keselamatan aktiviti dan trafik perkapalan di perairan tersebut yang dijangka meningkat termasuk menetapkan ruang laluan selamat, selesa dan bersesuaian di kawasan pelabuhan.

Tambah beliau, pewartaan dan pembangunan aktiviti perkapalan ini juga adalah sejajar dengan Belanjawan 2021 seperti mana dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November 2020 yang memperuntukkan sebanyak RM780 juta kepada lima koridor wilayah pembangunan ekonomi bagi projek-projek pembangunan yang akan diteruskan pada tahun 2021.

Peruntukan ini termasuk pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah NCER yang dilihat akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette