Sean Gan Giannell.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah KL City FC, Sean Gan Giannelli berharap ada sinar baharu untuknya mendapat lebih minit permainan selepas dipinjamkan ke UiTM FC sehingga tamat saingan Liga Super 2021.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja pada pertembungan dengan UiTM FC tempoh hari.

Mengakui persaingan yang cukup sengit untuknya mendapat tempat dalam pasukan Kuala Lumpur, Sean merasakan keputusannya adalah tepat untuk dipinjamkan ke skuad kendalian Frank Bernhardt bagi merebut peluang membuktikan kemampuan di atas padang.

Ini kerana, dia percaya masih mempunyai kualiti dan potensi terbaik untuk memberi impak kepada pasukan meskipun sedar UiTM FC ketika ini berada di tanga tercorot liga dengan hanya dua mata.

“Saya percaya peluang untuk kerap beraksi lebih cerah sekiranya saya bermain dengan UiTM FC dan dengan baki saingan liga sekarang ini, saya tidak mahu terlepas peluang ini.

“Saya ada mendapat beberapa tawaran juga daripada pasukan Liga Premier, tetapi saya merasakan UiTM FC lebih sesuai untuk saya cuba sinar baharu bantu mereka pada musim ini.

“Saya rasa UiTM FC perlukan sesuatu yang lebih segar dan baharu untuk mereka memulakan kembali baki perlawanan selepas ini, dan saya percaya dengan kehadiran saya, penjaga gol, Zamir Selamat dan juga import baharu mereka dapat menyumbang sesuatu,” katanya.

Ini merupakan musim kedua Sean bersama Kuala Lumpur sebelum dipinjamkan ke UiTM FC di mana kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini.

Untuk itu, sasaran peribadi semestinya untuk melakar sesuatu agar peluang untuk terus menarik minat pasukan-pasukan lain selepas ini masih terbuka untuknya pada musim depan.

“Saya tidak terlalu memikirkan untuk menjaringkan gol atau mengira berapa banyak saya dapat melakukan hantaran, tetapi saya lebih ingin fokus untuk membina balik keyakinan diri dan juga memperbaiki tahap kecergasan.

“Memang musim ini sangat penting untuk saya kerana kontrak saya hanya setahun dengan Kuala Lumpur, dan saya akan buktikan bahawa saya ada sesuatu untuk diberikan buat pasukan,” tambahnya.

Pemain berusia 25 tahun ini pernah beraksi selama lima musim bersama Harimau Selatan, tetapi musim baharunya bersama Kuala Lumpur pada tahun lalu tidak berjalan lancar apabila mengalami kecederaan buku lali sekali gus menghadkan peluangnya dalam skuad utama dan sempat beraksi untuk satu perlawanan sahaja. – MalaysiaGazettese

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast