Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Teknologi malaysia (UTM) Skudai, Johor berkuat kuasa Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau, ia adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

“Sehingga kini, sebanyak 49 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan oleh KKM yang melibatkan penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta pusat kesihatan.

“KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tinggi iaitu 14.2 peratus serta taburan kes positif serta kontak rapat telah menular di beberapa kolej lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette