Aswad (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Pulau Pinangi hari ini.

GEORGE TOWN – Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan sebuah syarikat swasta berpangkalan di Hong Kong yang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang.

Laporan itu dibuat susulan Menteri Penyelaras Program Imunusasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa syarikat berkenaan yang didapati tidak wujud dan kerajaan negeri ditipu.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis melakukan siasatan terperinci berhubung kes berunsur subversif itu.

Jelas Mohd Aswaad, penyiasatan juga perlu dilakukan membabitkan sumber kewangan melebihi RM100 juta yang didakwa wang peribadi untuk membeli vaksin Sinovac oleh pemilik syarikat tersebut.

“Sekurang-kurangnya dua kerajaan negeri iaitu Sabah dan Pulau Pinang cuba ditipu mengenai tawaran vaksin. Malah, jika kenyataan Khairy adalah benar, kerajaan negeri Pulau Pinang sudah berjaya ditipu.

“Negara kini berada dalam situasi darurat kesihatan dan kes ini dikhuatiri boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap maklumat kerajaan mengenai vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Aswaad turut menggesa Chow Kon Yeow membuat laporan polis bagi mempertahankan nama baiknya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Sekiranya pendedahan Khairy Jamaluddin itu benar, ini akan menjadi kes penipuan serius sekali gus mencalar imej kerajaan negeri yang cekap dan akauntabiliti.

“Selain itu, kredibiliti Kon Yeow juga mungkin terjejas berikutan kejadian itu yang mencerminkan beliau sebagai pemimpin yang lemah serta tidak berkebolehan bagi mentadbir negeri,” ujar Mohd Aswaad.

BACA: Syarikat tawar vaksin kepada P.Pinang diminta tampil bersihkan imej

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kerajaan negeri meminta syarikat yang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac tampil membersihkan imej mereka berhubung tawaran tersebut.

Gesaan itu dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow susulan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa syarikat itu ‘bogus’ dan tawaran iadalah satu ‘scam’.

Kon Yeow berkata, pengarah syarikat yang dinamakan oleh Khairy Jamaluddin juga perlu tampil untuk menolak dakwaan serius dibuat terhadap mereka. – MalaysiaGazette