Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor menyeru agar satu perbincangan secara permesyuaratan diadakan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pihak pentadbiran kerajaan, semua Ahli Parlimen dan ADUN di Negeri Johor perlu memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 segera dibendung dan pada masa yang sama, mereka yang terkesan hendaklah dibantu.

”Saya sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini.

”Namun, saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan ADUN di Negeri Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini,” titah baginda.

Tegas baginda, melalui perbincangan ini, semua Ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi di Johor.

Sejak kebelakangan ini, kes positif Covid-19 di Johor semakin tinggi.

Semalam, Johor telah mencatatkan sebanyak 699 kes, hari ini pula 615 kes. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Elok Sultan yang jadi Pengerusi, kalau harap MB jadi pengerusi, jadi macam sidang Parlinen dan DUN pakat-pakat YB tidur lalu cakap pun merapu tak serius.

Comments are closed.