Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kerajaan membenarkan dewan, padang dan surau di kawasan perumahan dijadikan tempat untuk solat Jumaat dengan SOP ketat.

Presiden UMNO itu pernah mengemukakan cadangan itu pada Januari lalu, supaya lebih ramai umat Islam di negara ini menunaikan solat Jumaat terutama ketika pandemik Covid-19.

Katanya, disebabkan masjid tidak dibenarkan untuk solat Jumaat, maka berlaku kegiatan vandalisme seperti menconteng masjid dengan perkataan ‘masjid kroni’ dan insiden seorang lelaki menendang pagar rumah ibadat kerana berang tidak dibenarkan solat.

“Tidak perlu diulas mengapa vandalism itu berlaku kerana saya percaya ramai telah membaca mengenai kisah solat Jumaat di sebaliknya. Begitu juga insiden seorang lelaki menendang pagar masjid kerana berang tidak dibenar menunaikan solat Jumaat baru-baru ini.

“Lelaki itu telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Pihak masjid juga telah memberikan jawapan dan mengambil tindakan di atas apa yang berlaku, namun bukan itu yang ingin saya ketengahkan di sini,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keadaannya yang dihadapi umat Islam Malaysia ketika ini menjadikan urusan solat Jumaat antara dilema besar mereka.

Ujar beliau, dilema urusan solat Jumaat jauh lebih besar daripada urusan membeli belah di pasar raya ketika pandemik Covid-19.

“Sebab itu saya ketengahkan semula cadangan saya berhubung pelaksanaan solat Jumaat semasa pandemik Covid-19. Semoga diberi perhatian pihak berwajib dan tiada lagi bangunan masjid diconteng atau pagar masjid ditendang.

“Saya fikir cadangan itu masih kekal relevan dalam keadaan negara kini memasuki fasa ketiga PKP 3.0,” katanya.

Beliau berharap, cadangannya itu memberi banyak alternatif kepada penduduk dan pekerja menunaikan solat Jumaat di kawasan dengan mengikut pecahan masing-masing.

Namun, ujarnya, pematuhan SOP yang ketat sebelum, semasa dan selepas solat serta penetapan had maksimum jemaah yang dibenarkan mesti dilaksanakan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) boleh menghantar atau melantik khatib serta imam untuk mengetuai solat Jumaat di lokasi berkenaan.

“Selain itu, saya turut mencadangkan diwujudkan sistem atas talian untuk orang ramai mendaftar tempat solat Jumaat.

“Ini supaya mereka dapat memilih lebih awal tempat untuk menunaikan solat Jumaat dibanyak lokasi yang telah tersedia di kawasan mereka” katanya.

Katanya, anggota Ikatan Relawan boleh diminta membantu memastikan pematuhan SOP dan semakan pendaftaran masuk di setiap kawasan solat Jumaat. – MalaysiaGazette