Petugas hospital, Dr. Fadhli Suhaimi bersama pembantu perubatannya, Shahrul Nizam Radzuan (kiri) dan Muhd Nurashraf Ahamed (kanan) berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) tekun menjalankan rawatan ke atas pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk Covid-19 di Lembah Klang telah mencecah 113 peratus.

Menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Mei 2021, secara keseluruhannya penggunaan katil ICU untuk pesakit wabak itu kini mencapai 91 peratus.

Bagi menampung peningkatan ini, hospital-hospital terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara.

Menurut KKM, ini akan mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

Di Hospital Sungai Buloh misalnya, sebahagian daripada Jabatan Kecemasan telah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal atau ICU.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” kata KKM menerusi laman Facebook.

Sehubungan itu, KKM memberi peringatan kepada orang ramai untuk kekal berada di rumah.

“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP.

“Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa. Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” kata KKM. – MalaysiaGazette