Mohamad Noor Yusof Ali

KUANTAN – Perkembangan positif di lokasi Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) di Tanah Putih yang sepatutnya tamat pada 25 Mei diawalkan kepada 23 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kadar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Tanah Putih dan Kemunting sangat tinggi dan menerima reaksi penduduk yang semakin positif berdasarkan perkembangan semasa.

“Manakala di lokasi PKPD Kemunting pula dilihat terkawal dan penduduk memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sehingga kini sejak dilaksanakan pada 17 Mei lalu.

“Setiap hari usaha dilakukan bagi memberikan peringatan supaya bersabar dan mematuhi SOP dan hari ini proses sanitasi awam telah dijalankan di Kemunting dan Tanah Putih,” kata Mohamad Noor ketika dihubungi MalasyiaGazette.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, seramai 5959 orang menjalani ujian calit di mana 385 disahkan positif Covid-19 bagi kluster Tanah Putih.

“Manakala bagi kluster Kemunting pula seramai 515 menjalani ujian calitan di mana 27 daripadanya didapati positif.

“Kepada mereka yang masih menjalani kuarantin, terus mengasingkan diri dan elak memberi risiko jangkitan di tempat kuarantin atau di rumah.

“Segeralah mendaftar diri menerusi aplikasi MySejahtera atau melalui Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) mendapatkan vaksin sebagai langkah berjaga.” kata Bahari.

Tambahnya, jumlah penduduk Pahang yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera bagi Program Imunisasi Kebangsaan bagi Fasa dua dan tiga kini 400,957 orang telah mendaftar. – MalaysiaGazette