Antara barang rampasan yang ditemui dalam sebuah stor di Lebuh Raya Latar. foto Ihsan IPD Gombak

KUALA LUMPUR – Kes kecurian barang-barang di tapak pembinaan di sekitar Rawang akhirnya terbongkar dengan penangkapan lima lelaki tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu terbongkar selepas polis menerima aduan daripada seorang pengurus tapak binaan pada 20 Mei lalu.

Laporan itu dibuat sekitar jam 9 pagi selepas pengadu mendapati stor barang tempat simpanan milik syarikatnya di Bandar Kundang Sungai Bakau, Rawang dibuka dan ada kesan umpil pada pintu jeriji hadapan.

“Pemeriksaan lanjut oleh pengurus tapak itu mendapati mesin, peralatan dan barang-barang milik syarikat dianggarkan bernilai RM50,000 telah hilang.

“Bertindak atas maklumat, lebih kurang 6.30 petang semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Rawang dan Balai Polis Kudang telah menjalankan serbuan ke atas sebuah stor berhampiran Stesen Rehat dan Rawat (R&R) Kundang, Lebuhraya Latar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan tersebut, polis telah berjaya menangkap lima lelaki tempatan berumur di antara 20 tahun hingga 48 tahun di kawasan stor tersebut.

Beberapa barangan milik syarikat pengadu yang telah dicuri, selain barangan dan kenderaan yang disyaki dicuri dalam kes lain ditemui dalam stor berkenaan.

Menurut Arifai, hasil siasatan mendapati kumpulan sindiket ini bergiat aktif mencuri di tapak pembinaan di sekitar kawasan Rawang dan stor tersebut dijadikan sebagai tempat simpanan.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita telah berjaya menyelesaikan lima kes curi dan curi kenderaan yang berlaku di sekitar Rawang dan Puchong yang dilakukan lima suspek ini lebih setahun yang lalu.

“Empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah lampau,” ujarnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kelima-lima suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk direman selama lima hari mulai hari ini hingga 28 Mei 2021. – MalaysiaGazette