Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

KUALA LUMPUR – Para pendeposit di Lembaga Tabung Haji (TH) disaran menggunakan perkhidmatan secara dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangannya di seluruh negara berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad berkata, pelanggan dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan THiJARI.

THiJARI adalah khidmat secara dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lepas bagi memudahkan pendeposit untuk membuat transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara atas talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang, perkhidmatan berkaitan haji termasuk pendaftaran, surat tawaran dan rayuan haji serta turut memaparkan maklumat tentang Kelab TaHa.

“Para Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan Perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mustakim memberitahu, TH komited dalam menggalakkan pendepositnya untuk melakukan transaksi secara dalam talian selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara sebagai usaha membantu mengekang penularan
wabak Covid-19 daripada terus merebak.

Tambah beliau, dalam menyokong saranan kerajaan, TH telah menambah lagi perkhidmatan melalui THiJARI, yang mana pengguna boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara dalam talian dan masa nyata (real-time) tanpa perlu hadir ke cawangan TH.

Jelasnya, pendeposit juga boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX dengan hanya perlu melayari laman sesawang www.thijari.com.my atau aplikasi THiJARI bagi menggunakan perkhidmatan baru tersebut dan ia adalah percuma.

Katanya lagi, pada awal Mei lepas, simpanan terkumpul TH terus berkembang sihat kepada paras tertinggi sebanyak RM80 bilion dengan jumlah pendeposit aktif kira-kira sembilan juta orang.

Sehubungan itu, para pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, diminta supaya menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di talian 03-6207 1919. – MalaysiaGazette