Gelagat orang ramai menunggu giliran menerima vaksin AstraZeneca ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Anak-anak muda berpendapat suntikan vaksin Covid-19 bukan sahaja mampu mengurangkan jangkitan wabak itu malah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka kepada negara.

Bagi pekerja swasta, Bella Halida Putri Mohd Toha, 25, dia mahu mendapatkan suntikan imunisasi itu ekoran khuatir dengan penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin mengganas sejak akhir-akhir ini.

Bella Halida Putri

“Kalau kita tengok sekarang orang muda pun ada yang meninggal dunia. Jadi kalau kita tak ambil vaksin takut terkena pada diri sendiri pula.

“Saya juga bersetuju sekiranya rakyat di negara ini mampu mencapai imuniti kelompok berikutan ramai yang mula dilihat sebagai golongan anti-vaksin.

“Kalau kita tengok mana-mana individu macam mana kita nak kenal pasti mereka ini anti vaksin atau pun tidak, jadi sebab itu perlunya untuk melindungi diri terlebih dahulu kerana orang kata lebih baik mencegah daripada merawat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Ketika ditanya mengenai segelintir individu yang mengkelaskan diri mereka sebagai kumpulan anti-vaksin, Bella Halida berkata, berkemungkinan golongan tersebut terlalu mudah mempercayai dakyah-dakyah palsu yang sering berlegar di media sosial.

Menurutnya, mereka yang mengetahui serba sedikit mengenai kelebihan penerimaan vaksinasi harus rajin berkongsi ilmu dengan golongan berkenaan.

“Bagi saya anak-anak muda masa kini senang terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang tidak betul di media sosial, jadi kita yang tahu serba sedikit mengenai vaksin ini patut kongsikan kepada mereka dan kita cerita perkara sebenar.

“Kalau masih lagi berdegil memang tiada lagi cara lain untuk menyedarkan mereka. Kita pun tidak tahu bagaimana cara mereka berfikir dan maklumat yang diterima pun bukan dari pakar kesihatan tetapi lebih kepada sebaran di aplikasi WhatsApp yang tular baru-baru ini seperti suara Mak Teh. Mereka lebih percaya itu daripada maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri,” ujarnya.

Azaan Fishon

Sementara itu, pereka grafik, Azaan Fishon, 28, menyifatkan penerimaan suntikan vaksinasi Covid-19 sebagai perkara penting yang perlu disedari oleh seluruh rakyat di negara ini lebih-lebih lagi dalam mencapai imuniti kelompok.

Jelas Azaan, rakyat harus lebih bertoleransi dalam hal tersebut selain perlu sentiasa memikirkan bagaimana mahu mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya mengharapkan tahun hadapan negara dapat lah memvaksin rakyat sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus imuniti kelompok sebagai usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Asyraf Marzuki

Manakala pembangun perisian, Asyraf Marzuki, 30, mengingatkan orang ramai  bahawa implikasi akibat terkena jangkitan Covid-19 adalah lebih teruk berbanding penerimaan suntikan vaksin.

“Bila kita terkena jangkitan wabak ini akan timbul komplikasi dan komplikasi kesihatan itu tidak mustahil boleh berlarutan sehingga bertahun-tahun.

“Jadi lebih baik kita ambil vaksin dan putuskan rantaian Covid-19 daripada wabak ini terus berlarutan.

“Sekarang kita tengok bilangan angka positif Covid-19 pun sudah melebihi 6,000 kes jadi siapa tahu sekiranya ia boleh meningkat sehingga 10,000 kes, jadi vaksin ini memang sangat penting,” katanya.

Tambah Asyraf lagi, golongan anti vaksin juga dilihat semakin galak menyebarkan info tidak sahih di media sosial sejak akhir-akhir ini.

“Zaman sosial media sekarang memang kita tidak boleh nak sekat atau elak kerana memang banyak maklumat yang tersebar untuk takut-takutkan orang mengambil suntikan vaksin.

“Jadi kita sebagai rakyat kena lah bijak berfikir, kena dengar daripada banyak pihak. Kalau kita dengar dari satu sumber sahaja sebab itu timbul masalah anti vaksin ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette