Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC akan mula berlatih esok di Stadium Mini, Baling selepas mendapat lampu hijau daripada Malaysia Football League (MFL) untuk mengadakan latihan secara berpusat Camp Based Training pada hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, KDA FC, Khamal Idris Ali, beliau bersama pengurusan lain mendapat kata sepakat memilih Baling sebagai destinasi latihan sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu berikutan daerah Kota Setar telah dikenakan Perintah Kawalan Perintah Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mei lalu sehingga 1 Jun yang memaksa mereka mencari tempat penginapan serta latihan baharu bagi melaksanakan pendekatan Camp Based Training.

“Memandangkan Alor Setar tidak boleh mengadakan sebarang latihan pada waktu ini selain beberapa tempat lain seperti Jitra, Kubang Pasu juga dikenakan PKPD, kami lihat Baling jadi kawasan paling sesuai.

“Segala kemudahan di sini agak baik selain faktor kes jangkitan Covid-19 di sini masih terkawal yang mungkin menjadikan peluang untuk dikenakan PKPD agak rendah berbanding kawasan-kawasan lain.

“Malah tempat penginapan yang kami pilih iaitu di Seri Baling Inn hanya jarak dalam 400 meter sahaja memudahkan pergerakan pemain ke tempat latihan pada setiap hari, “ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia di sini hari ini.

Khamal dalam masa sama mengharapkan kerjasama daripada semua peminat Kedah yang berada di Baling agar tidak mendekati pemain sepanjang mereka berada di sana bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dijaga berdasarkan penekanan di bawah Camp Based Training.

Bagi memastikan segalanya terkawal, pengurusan KDA FC turut melantik anggota dari Anggota Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengawal keselamatan pemain sepanjang mereka bergerak dan pulang ke tempat latihan.

“Saya faham peminat Kedah yang berada di Baling mungkin rasa teruja apabila tahu perkembangan ini tetapi buat masa ini, saya memohon kerjasama mereka untuk sama-sama menjaga keselamatan pemain.

“Harap mereka tidak datang dan berkumpul di tempat latihan seperti amalan biasa kerana perkara ini boleh mengganggu gugat SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka kena sama-sama bantu kami demi kebaikan pasukan, ” katanya.

KDA FC menjadi pasukan kedua selepas Terengganu FC (TFC) yang mendapat kelulusan daripada MFL pada semalam bagi mengadakan Camp Based Training dengan memilih Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail sebagai tempat penginapan pemain bagi menjalani latihan.

Perkara ini selaras dengan pengumuman MFL pada 19 Mei lalu yang mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan PKP dilaksanakan. – MalaysiaGazette