Adham Baba The President of Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 01 SEPTEMBER 2018 double standard ministers quarantine Muhammad Sajjad Nur Sajat Islam Muslim
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Punca kemalangan yang membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi perlu dikenalpasti  bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,  semua pihak perlu mengambil iktibar terhadap segala risiko masa depan membabitkan pengangkutan awam supaya kemalangan dapat dikurangkan seminimum mungkin.

“Kami berharap peristiwa kemalangan sistem transit aliran ringan dan keretapi metro yang pernah terjadi di pelbagai kota besar di dunia diambil perhatian agar tidak berlaku lagi di Malaysia.

“Keyakinan masyarakat terhadap keselamatan pengangkutan awam mesti dipertingkatkan dan tidak boleh dikompromi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi menegaskan, kemalangan tersebut sangat dikesali dan pihak pengurusan operasi LRT serta pihak berkuasa pengangkutan awam perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Malah tambah beliau, insiden itu perlu segera disiasat dengan terperinci bagi melihat sama ada ia berpunca daripada kerosakan teknikal, kesilapan komunikasi atau kecuaian manusia.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 8.45 malam tadi membabitkan dua buah tren.

Tren yang membawa 213 penumpang dan tren rosak yang sedang dipandu uji laluan Kelana Jaya bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Kejadian yang menggemparkan negara kerana ia pertama kali berlaku dalam sejarah perkhidmatan LRT sejak 23 tahun lalu. – MalaysiaGazette