KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan ribut di ibu negara menyebabkan insiden pokok tumbang di laluan Jalan Travers berhampiran Muzium Negara petang ini.

Kejadian pokok tumbangĀ  kira-kira pukul 3 petang itu menghempap sebuah kereta jenis Proton Saga putih dinaiki dua lelaki warga asing dan sebuah motosikal ditunggangi lelaki tempatan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di kakinya telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan,” kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan kereta yang dinaiki dua lelaki warga asing yang remuk teruk selepas dihempap pokok tumbang ekoran hujan lebat yang melanda ibu negara sekitar jam 3 petang tadi.

“Manakala dua orang warga asing dalam kereta yang remuk akibat dihempap pokok terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Kerja-kerja pengalihan dan pembersihan ppkok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang petang tadi hadapan Muzium Negara giat dilakukan pihak berwajib.

Menurut Anuar, kerja-kerja pengalihan dan pembersihan jalan utama itu sedang giat dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ujarnya, insiden itu menyebabkan kesesakan jalan raya selama beberapa jam lalu selepas jalan itu menghala ke pusat bandar di belakang Muzium Negara itu ditutup ekoran kejadian itu.

“Bagaimanapun trafik dijangka kembali pulih sediakala dan normal menjelang selepas 7 malam tadi,” katanya.-MalaysiaGazette