Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bakal pendeposit Tabung Haji (TH) digalakkan membuka akaun secara dalam talian menerusi platform terbaharu iaitu Pembukaan Akaun secara maya (Virtual Account Opening – VAO).

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad berkata, VAO sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Jelas beliau, VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia  beragama Islam membuka akaun TH dengan lebih mudah samada melalui laman web atau aplikasi mudah alih, THiJARI.

“Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat-syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung di bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI,” katanya menerusi kenyataan.

Inisiatif ini kata Mustakim, sekaligus memudahkan urusan pembukaan akaun baru dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan di cawangan TH kerana telah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

Menurutnya, bakal pendeposit TH hanya perlu melayari laman sesawang www.thijari.com.my dan isi butiran lengkap secara dalam talian sebelum hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

Sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform tersebut berjaya menarik lebih 800,000 pengguna THiJARI Web dan 400,000 pengguna THiJARI App.

THiJARI merupakan perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lalu bagi memudahkan para pendeposit untuk melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang, perkhidmatan berkaitan haji termasuk pendaftaran, surat tawaran dan rayuan haji serta turut memaparkan maklumat tentang Kelab TaHa. – MalaysiaGazette