Suasana di dalam Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang dipenuhi pesakit Covid-19 untuk dinilai tahap kesihatan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2021
Saudara pengarang,
Tidak keterlaluan dikatakan krisis Covid-19 di negara kita sudah mencapai tahap kritikal apabila jumlah jangkitan sudah melepasi 7,000 kes, manakala kematian pesakit dilaporkan setiap hari kebelakangan ini.

Keputusan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh seperti PKP 1.0 pada Mac 2020—sebaliknya membenarkan sektor ekonomi beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat—telah mengundang kritikan pelbagai pihak.

Persoalan yang bermain di fikiran kita sebagai rakyat adakah negara berada di landasan yang betul dalam perang menentang Covid-19? Yang manakah patut jadi keutamaan:  menyelamatkan nyawa atau menyelamatkan punca rezeki?

Kebelakangan ini di media sosial dan laman web pelbagai pandangan diutarakan rakyat dan pemimpin. Ada yang mahukan penutupan ekonomi dan sudah tentu ada yang tidak. Antara suara lantang yang menyokong penutupan ekonomi dilakukan seperti PKP 1.0 dulu termasuk juga seorang bekas Perdana Menteri bersama penyokongnya. Namun sebagai rakyat kita perlu menilai motif politik dan niat sebenar di sebalik desakan kumpulan ini.

Sewajarnya pilihan di tangan kita sebagai rakyat tidak perlu terhad kepada hanya di antara pilihan menyelamatkan nyawa atau menyelamatkan sara hidup rakyat. Perkara ini menjadi persoalan yang memecahbelahkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Sejak mula lagi, apabila pandemik menjejaskan rantaian bekalan dan perdagangan antarabangsa, dunia berdepan dengan peperangan di dua perbatasan, iaitu perbatasan kesihatan dan perbatasan ekonomi.

Dan sejak virus berbahaya mula menyerang awal tahun lalu lagi, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai dasar dan langkah rangsangan untuk melindungi hidup dan kehidupan rakyat.

Namun, seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga berkongsi rasa kecewa dengan langkah-langkah tertentu yang diambil pemerintah. Namun, janganlah pula kerana beberapa ciri-ciri SOP yang meragukan kita menjadi kabur dalam pertimbangan.

Bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan baik akibat Covid-19, mungkin marah atau kecewa dengan keputusan kerajaan tidak melaksanakan PKP penuh seperti Mac hingga Mei tahun lalu.

Dari perspektif seorang peniaga kecil yang saban hari bertungkus-lumus menanggung keperluan keluarga, mungkin mereka berpandangan keputusan terus membuka ekonomi ini memberi harapan untuk survival (kelangsungan hidup) keluarganya. Dalam kalangan mereka yang makan gaji, ramai juga yang mahu melihat pemulihan ekonomi Malaysia diteruskan supaya terus menjamin pekerjaan masing-masing.

Kedua-dua perspektif itu tidak boleh dinafikan, tetapi adakah ia mengambil kira langkah holistik yang diperlukan dalam usaha mengharungi krisis kesihatan awam paling teruk pernah dihadapi negara kita sejak zaman merdeka.

Perang melawan virus ini tidak memerlukan kita menghalang jutaan individu daripada mencari rezeki untuk menanggung diri, keluarga dan masa depan. Begitu juga, membenarkan sektor ekonomi terus beroperasi, tidak semestinya bermakna kita akan gagal melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

Saya suka memetik kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Dato Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa PKP dengan menutup sektor ekonomi bukan ‘silver bullet’ atau langkah mujarab yang boleh menamatkan ancaman Covid-19. Yang paling diharapkan dari PKP sebegitu hanyalah sekadar memperlahankan (tapi bukan menghentikan) penularan Covid-19.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa PKP 2.0 yang dilaksanakan awal tahun ini terbukti berjaya menurunkan jumlah jangkitan tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi. Malah, di masa lekuk jangkitan berjaya dilandaikan, ekonomi juga berkembang sekali.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini pernah menyatakan, jika sekatan seperti ketika PKP 1.0 dilaksanakan semula, sekurang-kurangnya 2.8 juta rakyat dijangka hilang pendapatan, manakala sehingga 40 peratus industri kecil dan sederhana (PKS) pula dijangka gulung tikar.

Ini bermakna jika PKP dilakukan dengan menutup ekonomi, ia dapat menyebabkan Malaysia seakan mundur bertahun lamanya dan terjerumus ke dalam kancah kesusahan yang tidak boleh dibayangkan.

Sewajarnya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan hasutan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan rasa amarah rakyat, memecahbelahkan kesatuan kita dalam perang melawan Covid-19 dengan menggunakan hujah ‘antara kesihatan atau ekonomi’ dan mengajukan pertimbangan sempit ‘antara hidup atau kehidupan’.

Sedarlah, cabaran yang kita hadapi sekarang berlaku di kedua-dua perbatasan kesihatan dan ekonomi serentak.  Selagi kita masih boleh mengambil pendekatan yang seimbang dalam menyelamatkan nyawa dan menyelamatkan ekonomi rakyat sekaligus, maka, keseimbangan ini patut diteruskan.

Akhirnya, di penghujung perang melawan Covid-19 ini, yang kita semua idamkan adalah satu kemenangan mutlak. Yakni, satu kemenangan di mana kita berjaya melindungi nyawa dan punca rezeki rakyat dan memastikan masa depan Malaysia lebih makmur, lebih terjamin.

Halim Rahman
Kota Samarahan
Sarawak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast