Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Kira-kira 87 peratus daripada 1,495 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima suntikan imunisasi Covid-19 sejak 24 Februari lalu hingga kini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, seramai 956 pegawai dan anggota telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Sebanyak 78 peratus atau 1,181 pegawai dan anggota sudah mendapat satu dos suntikan, manakala 13.6 peratus lagi masih menunggu giliran untuk menerima suntikan imunisasi itu.

“Kebanyakan anggota yang masih belum menerima vaksin ini bertugas di pejabat IPD Petaling Jaya dan sebilangan kecil di Sekatan Jalan Raya (SJR) ,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya, hari ini.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan seramai 27,000 nama pegawai dan anggota di lima Kontinjen polis negeri untuk menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebelum ini juga, Bukit Aman mensasarkan sehingga lebih 50 peratus pegawai dan anggotanya untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

Dalam pada itu, Mohamad Fakrudin berharap program imunisasi dalam kalangan pegawai dan anggotanya dapat diselesaikan menjelang penghujung Jun ini.

“Setakat ini kita ada 204 anggota dan pegawai yang belum mendapat vaksin, terdiri daripada yang golongan berisiko.

“Walaupun suntikan dos kedua di jadual pada 15 Jun ini, namun kita harap kesemuanya dapat diselesaikan sebelum Julai ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast