ACP Baharudin Mat Taib

SHAH ALAM – Cubaan seorang pemuda untuk melarikan jam tangan emas dan rantai emas dengan berpura pura mahu membelinya gagal apabila lelaki yang berusia 20 tahun itu ditahan pemilik kedai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku di sebuah kedai emas di depan Masjid An-Naim, Jalan Kebun Kota Kemuning, di sini, pada jam 4 petang semalam.

“Semasa kejadian, suspek tempatan itu telah berpura-pura masuk ke dalam premis berkenaan sebagai pelanggan yang mahu membeli barang kemas.

“Tiba-tiba suspek yang tidak bekerja itu cuba melarikan seutas jam tangan emas dan dua utas rantai emas sebelum kejadian itu disedari pemilik premis itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal berjaya ditahan pemilik premis dengan bantuan orang awam yang berada di kawasan tersebut.

“Berlaku pergelutan diantara suspek dan pemilik premis ketika itu sebelum orang awam yang menyedari insiden itu bergegas membantu menangkap suspek pemuda itu,” ujarnya.

Menurut Baharudin, suspek kini direman selama empat hari sehingga Slasa ini untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Katanya, kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan mahkamah

“Kita berjaya merampas jam tangan emas dan dua rantai emas yang jumlah keseluruhannya bernilai RM22,996 termasuk jam tangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast