Warga emas mengisi borang dan menunggu angka giliran di skrin untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kapasiti pemberian dos vaksin Covid-19 pada masa ini sudah mencapai 107,000 sehari.

Perdana Menteri berkata, jumlah semasa boleh dipertingkatkan lebih daripada 200,000 dos selepas menerima tambahan vaksin syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) dan memperkenalkan kaedah pandu lalu, selain menambah anggota sukarelawan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan penambahan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang Disember ini dengan negeri-negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober ini.

Beliau merayu rakyat yang telah menempah vaksin supaya hadir bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Bagi penduduk yang tinggal jauh dan sukar hadir ke PPV, aset-aset kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool digerakkan untuk tujuan ini, kata beliau semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).- MalaysiaGazette