Mohd Ajib Ismail

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang caj dikenakan bagi menguruskan jenazah yang dijangkiti wabak Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, tanggungjawab tersebut dijalankan oleh sepasukan Petugas Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAWI yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun lalu.

“Pasukan tersebut akan menguruskan jenazah berkaitan Covid-19 berdasarkan permohonan daripada pihak hospital dan pusat perubatan seluruh Wilayah Persekutuan.

“Kesemua 435 jenazah berkaitan Covid-19 yang diuruskan oleh pasukan tersebut sehingga kini dijalankan secara percuma tanpa sebarang kos dikenakan bagi melunaskan tanggungjawab fardu kifayah ke atas umat Islam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan seorang pengguna laman sosial berkaitan kewujudan kartel pengurusan jenazah yang mengenakan harga perkhidmatan tinggi.

Berdasarkan perkongsian di laman Twitter milik individu berkenaan, dia diminta untuk membayar kira-kira RM1,800 bagi menguruskan jenazah ibu saudaranya yang meninggal dunia di sebuah hospital baru-baru ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, sehingga kini pasukan tersebut telah menguruskan sebanyak 269 jenazah lelaki dan 166 jenazah wanita yang dijangkiti Covid-19.

Jelas beliau, pasukan khas berkenaan dianggotai 70 petugas dengan 51 daripadanya merupakan petugas lelaki manakala 19 lagi merupakan petugas wanita. – MalaysiaGazette