Reaksi penduduk selepas kawasan kediaman mereka dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas; Mukim 12; Barat Daya, Pulau Pinang akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 4 Jun hingga 17 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, 13 lokaliti tersebut adalah Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

Jelas beliau, pelaksanaan itu berikutan peningkatan di Bayan Lepas iaitu sebanyak 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu dengan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 250 kes.

“Ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat juga menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus manakala saringan komuniti pula 10.7 peratus.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti seperti dinyatakan berkuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, pelaksanaan PKPD tersebut memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast