Seorang bapa didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak lelakinya berusia dua tahun pada Mac lalu.

SHAH ALAM – Seorang bapa didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak lelakinya berusia dua tahun pada Mac lalu.

Tertuduh, Tarmizi Khairul Badri Abbas, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kediamannya di Rhythem Avenue, USJ 9, City Mall, Subang Jaya, jam 5 petang, pada 26 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001(Akta 611), yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Khairul Aisamuddin memohon jaminan RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati anak dan isterinya sehingga kes itu selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana dia hanya menguruskan rumah tangga sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan.

Mahkamah membenarkan Tarmizi Khairul Badri diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati anak dan isteri.

Mahkamah juga menetapkan 4 Ogos ini untuk sebutan semula. – MalaysiaGazette