KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dikesan untuk tempoh 24 Mei hingga hari ini yang mana kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu empat kes varian Delta (B.1.617.2) dan 15 kes varian Beta (B.1.351).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak tiga kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kesemua tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes-kes dari kluster Layangan Labuan manakala satu kes di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.
“Bagi 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian South Africa pula, sebanyak enam kes dilaporkan di Johor dan lima kes di Kelantan.
“Ia disusuli masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu di mana esemua kes adalah merupakan jangkitan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham menambah, sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh
virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 138 kes.
Kata beliau, daripada jumlah yang dikesan, sebanyak 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
Menurutnya, jumlah kes VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut iaitu 104 kes adalah varian Beta (B.1.351) dan masing-masing semilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) dan varian Delta (B.1.617.2).
“Variant of Interest (VOI) yang dilaporkan pula adalah seperti berikut iaitu 12 kes adalah varian Theta (P.3); tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) dan satu kes adalah varian Kappa (B.1.617.1).
“Seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian Covid-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik ini.
“Oleh itu, amalan mengenali varian SARS-CoV-2 mengikut negara ianya mula
ditemui akan dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette