Foto Instagram Serina Redzuawan.

KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 yang melonjak tinggi memaksa kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat apabila ramai terjejas sumber pendapatan.

Bagaimanapun, ada yang bijak mengambil peluang dengan menjadikan minat atau hobi untuk menjana pendapatan sepanjang tempoh PKP ini.

Sebenarnya, ada beberapa minat atau hobi yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan lumayan walaupun sekadar dilakukan pada masa lapang.

Apatah lagi, pada era teknologi yang semakin berkembang ini, kita hanya perlu menggunakan saluran media sosial untuk menjana pendapatan dari rumah.

Tidak ketinggalan, pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan. Akui wanita berusia 39 tahun ini, dia tidak malu menceburi apa sahaja bisnes asalkan memberi rezeki yang berkat.

Kerana minat meniaga, bermula bisnes telekung jenama Serina Inspire, dia juga menjalankan perniagaan air minuman dikenali Air Jagung Heaven yang dipasarkan di stesen-stesen minyak seperti Shell dan Petronas.

Sebelum ini, dia giat menjual biskut raya serta menyediakan servis hamper Raya sepanjang Ramadan lalu.

Semua bisnes itu dilakukan di rumah dengan mempromosi di media sosial sambil mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Sebenarnya ketika PKP ini adalah waktu yang sesuai untuk mencari wang tambahan bagi mereka yang duduk di rumah. Bayangkan berapa juta masyarakat yang duduk di rumah dan kebanyakan menghabiskan masa melayari media sosial.

“Mahu atau tidak, pasti ada jualan yang masuk kerana tarikan promosi produk di media sosial amat kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ibu kepada dua anak ini berkata, PKP bukan waktu untuk mengeluh tiada pendapatan sebaliknya perlu berani mengubah hidup mereka.

Jelas isteri kepada Meor Mohammad Aidid ini, jika modal dijadikan alasan, banyak bisnes hari ini tidak memerlukan jika hanya menjadi dropship namun masih boleh mendapat untung bersih sehingga RM30 ke RM40 bagi setiap jualan.

“Sebenarnya kita kena berani mencuba. Biar gagal mencuba daripada gagal tidak mencuba langsung,” katanya berterus-terang.

Serina menambah, bagi mereka yang memiliki sedikit modal, tidak salah bermula sebagai ejen dengan modal sekitar RM300.

Katanya, sejak bermula PKP 3.0, dia telah menjana pendapatan lebih RM10,000 hanya duduk di rumah menjual produk suplemen fiber atas talian.

“Terus-terang saya tidak malu menjadi artis yang meniaga macam-macam produk, contohnya seperti produk fiber ini, saya menggunakan dulu dan ternyata berkesan kerana ia lawas dan badan saya menjadi ringan.

“Bila saya kongsi kebaikannya dengan rakan-rakan dan sekadar suka-suka promosi di laman sosial, ramai pula yang berminat membelinya.

“Bagi yang hendak meniaga ketika PKP ini, saya boleh ajar walaupun ada modal atau pun tidak memiliki modal,” katanya bersungguh-sungguh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast