Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Banyak isu rakyat tidak dapat diselesaikan kerana Parlimen sudah hampir setengah tahun tidak bersidang akibat pandemik Covid-19 gelombang ketiga.

Penasihat PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun pada Mac lalu Yang di-Pertuan Agong berkenan mengizinkan Parlimen bersidang tetapi ia kekal ditutup atas alasan darurat.

Lantaran itu, tegasnya, isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas, selain hal berkaitan kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat dan keganasan rumah tangga.

“Semua isu ini termasuk kes anak dan isteri maut di tangan pengasuh serta suami dan isu pendidikan juga terus menjadi tumpuan tanpa penyelesaian yang mendasar dari kerajaan sekarang.

“Masalah pendidikan bukan sahaja menyukarkan anak-anak kepada akses pembelajaran, tetapi semua pemegang taruh terkesan juga termasuk ibu bapa dan guru.

“Penutupan Parlimen juga tidak membolehkan negara menyatakan pendirian secara tegas terhadap isu kemanusiaan sejagat seperti pemusnahan etnik dan dasar aparteid yang sedang dilakukan secara kejam oleh regim zionis Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Kongres Wanita Nasional PKR ke-15, yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut Dr. Wan Azizah, walaupun berdepan pelbagai kemelut, beliau bangga dan bersyukur melihat keanggotaan parti itu semakin bertambah dari hari ke hari.

Katanya, jumlah keanggotaan PKR juga semakin meningkat dari semasa ke semasa, yang menunjukkan petanda parti itu masih relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

Beliau berkata, pilihan raya adalah wadah atau medan utama perjuangan parti itu dan sudah tentu menang adalah matlamatnya apabila memasuki medan perang pilihan raya.

“Untuk menang, kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang, kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat sebagai mampu memberi harapan penyelesaian masalah yang melanda.

“Saya menyeru Wanita PKR khususnya dan anggota parti umumnya terus meraih sokongan di kawasan masing-masing. Tambah ranting, tambah keanggotaan kita dalam kalangan rakyat, wanita dan anak-anak muda serta Srikandi.

“Kita raih sokongan ramai dan lebih penting supaya mereka faham dan menjiwai intipati perjuangan kita dalam keluarga besar keadilan,” katanya.

PKR kini mempunyai 2,028 ranting seluruh negara, dan PRU-14 merupakan lambang parti yang memenangi pilihan raya.

Kata Dr. Wan Azizah, PKR lahir daripada perjuangan rakyat dan kepimpinannya akan teruskan perjuangan murni ini bersama dengan istiqamah serta konsisten mencari titik persefahaman, bukan eksklusif.

Beliau menyatakan, PRU ke-15 ini akan lebih ramai lagi calon Wanita akan diketengahkan, tetapi langkah itu bukan untuk mencabar kaum lelaki, sebaliknya sama-sama permudahkan proses itu.

Beliau turut berkongsi kajian Harvard Business Review mengenai kelebihan wanita terutama dalam hal mengambil inisiatif, lebih berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri, berbuat sesuatu dengan didorong oleh keputusan, mempamerkan integriti yang tinggi serta jujur.

“Mereka juga dipercayai 84 peratus lebih efektif dalam ukuran kompetensi, ditambah lagi dengan sifat semula jadi keibuan serta tahap kesabaran yang tinggi, wanita mampu menjadi pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang lebih perihatin dan empati terhadap rakyat.

“Aktivisma itu penting, turun ke padang, berjumpa rakyat itu penting. Bila kita berada dalam kalangan mereka yang menggubal dasar di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, wanita di luar sana khususnya mahu kita menjadi suara mereka, cakna dengan isu semasa dan mampu mencadangkan penyelesaian terbaik dalam permasalahan rakyat.

“Dalam kita terpaksa memenuhi peranan kita membangun masyarakat, wanita sering berdepan dilema, yang menuntut pengorbanan besar,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kongres Nasional PKR pertama kali berlangsung secara maya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast