Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalankan lebih 26,000 operasi sanitasi di seluruh negara sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad berkata, usaha itu masih diteruskan sebagai salah satu usaha bagi mencegah kebarangkalian jangkitan daripada berlaku.

“Rakyat memerlukan jaminan dan menghargai sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi meminimakan risiko jangkitan.

“Tambahan pula, sanitasi ini difokuskan kepada kawasan yang telah disahkan mempunyai kes aktif Covid-19.

“Kerja-kerja sanitasi itu kini menjadi satu keperluan bagi meredakan kebimbangan rakyat terhadap varian-varian baharu yang lebih pantas, berubah-ubah dan mudah menjangkiti manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, Ahli Pasukan Bertindak Covid-19 Selangor, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman menyifatkan operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara sebagai satu pembaziran.

Menurut Dr Adeeba, pembaziran itu dapat dilihat daripada bantuan peralatan perlindungan diri (PPE), kanula hidung aliran tinggi (HFNC), alat pengalih udara (ventilator), meter oksigen dan makanan untuk sukarelawan.

Menurut Nor Hizwan, sanitasi ini bukan proses desinfeksi semata-mata, bahkan ia merangkumi aktiviti nyah cemar, disinfeksi, cucian serta sanitasi awam.

“Sanitasi awam merupakan salah satu terapan norma baharu yang ingin dijadikan budaya dalam masyarakat agar masyarakat sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih dan sihat,” katanya.

Beliau juga menggesa Dr Adeeba agar menumpukan fokus beliau kepada usaha untuk memerangi Covid-19 di Selangor yang mencatat kes tertinggi di seluruh negara sehingga ke hari ini.

“Marilah bersama mencari jalan keluar kerana sekarang bukan masanya untuk mencari salah sesiapa.

“Dr Adeeba dan semua pihak perlu akur dan menghargai sebarang usaha kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 dalam negara ini dapat diturunkan.

“Marilah kita sama-sama berusaha, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar negara kita segera bebas dari pandemik ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast