Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ HAMBALI, 10 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan bertemu dengan rakan sejawatan dari China, Wang Yi bagi membincangkan isu pencerobohan pesawat negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pertemuan dua hala tersebut antara sesi sampingan yang diatur bersempena dengan Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China pada Isnin ini.

“Mereka berdua akan mencari langkah terbaik bagi memastikan insiden sedemikian tidak lagi berulang pada masa depan demi kepentingan bersama,” kata kenyataan hari ini.

Kementerian Luar menambah, perbincangan itu diharap dapat memastikan keamanan dan kestabilan dipelihara serta mengelak kesan silap pertimbangan atau isu tidak disengajakan.

Ia merujuk tindakan tegas Wisma Putra memanggil Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing pada Khamis lalu bagi menyampaikan nota bantahan ekoran pencerobohan berkenaan.

Sebelum ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Selasa lalu mendedahkan, ada 16 pesawat China memasuki ruang udara di Sabah sehari sebelumnya.

Kedutaan China di Kuala Lumpur bagaimanapun menyangkal tuduhan itu dan mendakwa kononnya pesawat pengangkut tentera tersebut hanya melakukan rutin latihan penerbangan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, situasi pertikaian Laut China Selatan dan pelbagai isu serantau serta sejagat turut akan diperbincangkan dalam pertemuan di Chongqing itu.

“Mesyuarat tersebut dibuat sempena ulang tahun ke-30 hubungan Dialog ASEAN-China dan atas jemputan Wang Yi sendiri dengan dihadiri semua menteri luar negara anggota,” katanya.

Turut serta ialah Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi dengan mesyuarat kali ini dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa isu wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut mengesahkan, Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia menyertai Forum Diplomasi Antalya di Turki selama tiga bermula dari 18 Jun depan.

Program tahunan disertai pemimpin, diplomat dan akademia dari lebih 37 negara itu bakal dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di bandar peranginan Mediterranean.

Justeru, ujar Wisma Putra, selesai sahaja mesyuarat di Chongqing dan sebelum forum di Antalya, Hishammuddin akan mengadakan lawatan kerja rasmi di Mesir, Kuwait dan Qatar.

Beliau dijadualkan bertemu pemimpin negara berkenaan untuk meneroka pelbagai inisiatif kerjasama dalam pelbagai bidang selain membincangkan isu pembangunan semula Palestin.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke empat buah negara rantau Asia Barat itu sejak dilantik sebagai menteri luar menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah pada 10 Mac tahun lepas.

“Malaysia bakal menegaskan sokongan kepada Palestin pasca konflik berdarah di Gaza bulan lalu serta sedia bekerjasama dalam penyaluran bantuan kemanusiaan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast