Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa pelik apabila skuad Harimau Malaya disertai hampir separuh pemain kelab itu.

Tengku Mahkota Johor berkata, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe (TCH) sepatutnya berani mencuba muka-muka baharu dari pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain berbanding hanya ‘memborong’ pemainnya.

Malah beliau bimbang dengan risiko kecederaan pemain kelabnya apabila ramai terlibat dengan tugasan bersama kem negara.

“Tanya TCH (kenapa ramai pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya). Saya pun tak tahu mengapa, beliau nak ambik ramai sangat pemain JDT. Saya tak setuju sebab majoriti ini pemain saya dan menambahkan risiko kecederaan kepada pemain-pemain saya.

“Banyak kali saya bertanya dengan beliau. Saya pun nak juga lihat TCH ambil pemain dari pasukan lain sebab saya juga nak tengok berapa jauh mereka mampu pergi,” katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagram miliknya, semalam.

Sebelum ini, Cheng Hoe menyenaraikan 13 pemain JDT daripada 25 tonggak yang dipanggil bagi menghadapi latihan pusat pasukan pada pertengahan bulan lalu, sebelum pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools diumumkan sebagai tonggak ke-26 Selasa lalu.

Daripada 13 pemain skuad Harimau Selatan itu, sembilan daripadanya membarisi skuad utama dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan pasukan negara dibelasah 0-4.

Sementara itu, meurut Tunku Ismail lagi, kekalahan di tangan UAE kelmarin bukan saja menyebabkan kem negara dikritik, malah JDT juga menjadi sasaran kecaman peminat yang mengaitkan punca kemerosotan pasukan kebangsaan disebabkan oleh kelabnya, atau lebih tepat kurang meraih minit permainan.

“Bila kalah ramai nak sebut JDT, tapi bila menang pantang kalau penyokong JDT sebut ramai pemain JDT tu. Masa lima perlawanan sebelum ini pasukan Malaysia, kalah satu perlawanan pasukan Selatan/JDT. – MalaysiaGazette