JUMLAH kes yang masih tinggi benar-benar meresahkan seluruh lapisan masyarakat.
Para petugas di barisan hadapan dan rakyat bawahan khususnya B40 adalah kumpulan yang paling terkesan dari segi mental dan fizikal.
Benar mereka yang berada dalam kategori M40 dan T20 turut terkesan tetapi impak tidak seteruk rakyat bawahan.
Golongan M40 dan Top 20 pada asasnya terkesan aspek pendapatan, keuntungan perniagaan atau pelaburan mereka yang semakin merosot.
Jumlah kelompok ini jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kelompok B40.
Berikut 5 langkah yang wajar kerajaan pertimbangkan untuk mengembalikan semangat seluruh rakyat yang semakin keliru dan resah.
1. Tetapkan tempoh waktu PKP
Penetapan secara jelas akan tempoh masa contohnya 3 bulan berbanding 2 minggu dan ditambah lagi 2 minggu dan ditambah lagi tanpa kepastian sampai bila akan menyukarkan semua pihak untuk membuat perancangan, baik rakyat biasa, sektor awam mahupun swasta.
Ini termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri dari aspek penyediaan kemudahan kesihatan dan kerajaan itu sendiri dari sudut penyediaan pakej bantuan kepada rakyat dan semua pihak yang terkesan.
Sekiranya kadar mereka yang dijangkiti turun mendadak selepas penetapan 3 bulan, maka kerajaan boleh mengumumkan tempoh lock down itu diturunkan kepada 2 bulan contohnya.
Pendekatan ini akan meningkatkan moral rakyat untuk terus komited dalam usaha memendekkan tempoh masa memenangi perang terhadap COVID-19.
2. Membentuk Pasukan Bantuan Bencana Negara
Kerajaan wajar menyusun dan mengkoordinasi semula semua agensi dan NGOs mahupun anggota masyarakat setempat yang terlibat dalam memberi bantuan kepada masyarakat hari ini.
Konsep payung perlu dibangunkan segera bagi memastikan kaedah penyaluran dan pengagihan bantuan dapat diselaras dengan cekap dan tepat.
Payung ini bermula dari peringkat negara turun kepada negeri, daerah, mukim dan kampung serta taman perumahan.
Dengan kata lain di setiap peringkat itu perlu ada pusat pengumpulan & pengagihan bantuan khususnya bantuan makanan.
Perlu ada kaedah yang sistematik bagi merekodkan jumlah bantuan yang diperlukan dan diterima di mana-mana peringkat.
Dengan kata lain, perlu diketahuai kadar bantuan yang diperolehi dan diperlukan untuk sesebuah kampung, taman, mukim, daerah, negeri dan akhirnya negara.
Pendekatan ini akan membolehkan bantuan diurus dengan lebih cekap.
3. Meningkatkan peranan hospital swasta
Satu ketetapan perlu segera dibuat khususnya di bawah keadaan darurat seperti hari ini agat hospital swasta memainkan peranan lebih besar, nyata dan jelas.
Salah satu langkah yang wajar dipertimbangkan ialah mereka yang pernah mendapat rawatan di sesebuah hospital swasta itu sebelum ini untuk apa juga masalah kesihatan wajar dirawat dihospital tersebut apabila dijangkiti COVID-19.
Pendekatan ini wajar dilihat sebagai tanggungjawab sosial hospital swasta kepada pelanggan mereka.
Pendekatan ini akan mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kemudahan hospital kerajaan.
4. Menetapkan GLC berkuntungan besar menaja pusat-pusat kuarantin
Sekaranglah masanya GLC perlu berada di barisan hadapan bersama kementerian dan agensi kerajaan, dan NGO dalam perang terhadap COVID-19.
GLC yang mempunyai simpanan yang besar hasil daripada keuntungan berbilion ringgit yang diraih setiap tahun wajar menggunakan simpanan masing-masing untuk membantu kerajaan dan rakyat.
Keuntungan itu penting tetapi apa makna keuntungan jika rakyat yang selama ini menjadi pelanggan mereka mati atau sistem ekonomi lumpuh sepenuhnya.
Kekayaan boleh dicari kembali tetapi nyawa tidak boleh di mana jika ramai rakyat yang mati akibat malapetaka ini pastinya ia akan memberi kesan besar kepada GLC dan akhirnya melumpuhkan sistem ekonomi negara keseluruhannya.
Usaha serupa wajar dibuat terhadap syarikat besar negara khususnya yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Benar yang mereka juga terkesan tetapi inilah masanya mereka menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat dan negara ini.
Jika 2,000 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia menumbang RM1 juta setiap syarikat maka RM2 bilion dapat dikumpul.
5. Memanggil pesara pekerja kesihatan, sektor awam dan swasta serta rakyat menjadi sukarelawaan negara
Kerajaan wajar melihat pendekatan yang bersesuaian untuk memanggil balik para pesara kerajaan khususnya yang pernah berkhidmat di sektor kesihatan untuk menjadi sukarelawaan.
Panggilan serupa terhadap semua bekas pesara kerajaan dan swasta termasuk rakyat biasa untuk memberi khidmat mereka.
Mereka ini boleh ditempatkan di peringkat negara, negeri, daerah, mukim, kampung dan taman perumahan.
Dengan panduan, skop tugasan yang jelas dan kaedah kerja yang sistematik iaitu berteraskan teknologi maklumat yang baik pastinya peranan mereka dapat dimanfaatkan dengan berkesan.
Semua saranan di atas diharap mampu membantu kerajaan yang diketahui umum sentiasa cakna kepada nasib rakyat.
Ayuh rakyat Malaysia, bersama kita membantu kerajaan dan negara kita.
Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah
Universiti Utara Malaysia
















