Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Sidang media khas oleh Menteri Pendidikan pagi tadi masih belum menjawab persoalan lebih besar yang diperlukan oleh ibu bapa terutama dalam enam perkara utama.

Persoalan yang masih lagi tergantung-gantung ialah bolehkah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan guru-guru tingkatan lima diberikan keutamaan dapatkan vaksin supaya mereka boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka bagi persiapan menghadapi peperiksaan SPM.

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kumpulan pelajar ini seharusnya menjadi keutamaan jangka pendek Kementerian Pendidikan kerana bakal menghadapi peperiksaan besar.

Persoalan lain apakah ada strategi untuk segerakan agihan 150,000 peranti kepada pelajar B40 memandangkan sudah hampir dua tahun PdPR dilaksanakan, semakin ramai pelajar khususnya dari keluarga B40 yang keciciran pembelajaran.

”Apakah ada skim pinjaman mudah, baucer atau subsidi untuk ibubapa beli komputer?,” soal beliau.

Beliau turut bertanya, apakah ada program khas bagi penambahbaikan kursus dan latihan guru berkaitan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan berapakah bajet yang telah diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan kursus dan latihan guru untuk PdPR?

”Mengapa tidak dikongsikan kejayaan sekolah contoh PdPR? PIBG contoh PdPR? Guru contoh PdPR? Pengetua contoh PdPR? PPD contoh PdPR? Ibubapa contoh PdPR?

”Mengapa KPM tidak kongsi dan angkat contoh-contoh yang telah berjaya laksanakan PdPR untuk dicontohi oleh guru-guru lain dan diraikan oleh masyarakat?,” katanya yang berpandangan sidang media KPM yang ditunggu-tunggu ini tiada agenda yang baharu kecuali perkongsian beberapa tarikh dan jadual penting.

Anuar berkata, sidang media KPM tadi nampaknya lebih bersifat taklimat pengurusan sahaja kerana lebih berkisar tentang penjadualan dan tarikh persekolahan.

Menurutnya, semua input ini penting tetapi ibubapa dan masyarakat perlukan lebih dari sekadar input tarikh dan jadual.

Kata beliau, sidang media tadi tidak banyak agenda baharu khususnya apakah perancangan dan program KPM untuk mengurangkan keciciran pembelajaran anak-anak kita dan bagaimana usaha KPM untuk membantu guru. – MalaysiaGazette