Proses vaksinasi kepada pengamal media perlu dipercepat dan tidak boleh dilengah-lengahkan.

KUALA LUMPUR – Proses vaksinasi kepada pengamal media perlu dipercepat dan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, pengamal media merupakan barisan hadapan yang perlu dipermudahkan urusan memandangkan tugasan mereka untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Menurutnya, pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor lain, petugas media terutamanya jurugambar dan juruvideo terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual dengan niat menabur bakti terhadap negara bagi menangani Covid-19 sekaligus mencapai imuniti kelompok.

“Dua bulan lalu pada 18 April, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah meminta pihak pentadbiran Kerajaannya sendiri supaya pemberian vaksin kepada pengamal media disegerakan memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan.

“Beliau seterusnya berkata, vaksinasi membabitkan pengamal media mungkin dibuat dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada April. Pada 28 April pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan diberi vaksinasi pada bulan Mei.

Ulya Aqamah Husamudin

“Malangnya sehingga 7 Jun, dua bulan selepas fasa kedua PICK bermula, ternyata kedua-dua menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi pengamal media gagal menepati janji mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ulya Aqamah berkata, apa yang berlaku merupakan satu perkara pelik memandangkan pelbagai program kerajaan berterapkan usaha-usaha menangani Covid-19 telah dianjurkan yang memerlukan kehadiran pengamal media untuk liputan dengan rata-ratanya memerlukan kehadiran fizikal.

Ujarnya, kelihatan seperti segala penat lelah, risiko yang diambil dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli.

“Kedua-dua menteri ini perlu ingat, pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19,” tambahnya. – MalaysiGazette