Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bergambar berlatarbelakang Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah ketika meninjau pelaksanaan Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Muhibbah hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui pelaksanaan Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek rintis itu bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan mendapatkan akses untuk vaksinasi Covid-19 dengan lebih pantas.

“Hampir 1,000 individu yang berdaftar merupakan warga emas, ini tidak termasuk kategori lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Apa yang penting kita membawa vaksin kepada rakyat, rakyat tak payah rentas kawasan, rakyat tak payah menunggu terlalu lama.

“Kita memberi keutamaan kepada kawasan berkepadatan tinggi di PPR dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada sidang media di PPR Kg Muhibbah, di sini, hari ini.

Terdahulu Annuar melihat sendiri Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah yang pertama di Wilayah Persekutuan bermula di PPR Kg Muhibbah.

Annuar Musa melihat kaunter pendaftaran penerima vaksin ketika meninjau pelaksanaan Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

Pelaksanaan program ini merupakan antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk
memastikan 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasikan
pada penghujung Ogos 2021.

Sasaran keseluruhan program imunisasi kepada semua warga PPR dan PA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dijadualkan selepas 7 Jun dan dijangka selesai keseluruhannya pada Oktober 2021.

Dalam pada itu, Annuar tidak menolak kemungkinan kementeriannya mampu membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui trak vaksin bergerak dengan kapasiti sehingga 20,000 vaksin sehari.

“Kita ada kapasiti untuk membantu mempercepatkan sampai 15,000 hingga 20,000 vaksin sehari dengan 39 jumlah trak yang kita ada.

“Kita mahu membawa vaksin kepada rakyat terutamanya kepada golongan tua, uzur, sukar bergerak dan tiada kemudahan pengangkutan,” katanya.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menggerakkan perkhidmatan ulang-alik supaya perumahan berdekatan boleh menggunakan kenderaan awamnya untuk mendapatkan vaksin ini.

“Kita ada 12 kenderaan, malah kita boleh tambah dari semasa ke semasa bagi melengkapi projek rintis ini supaya penduduk berdekatan boleh datang dan tak perlu buat banyak kali,” katanya.

Orang ramai beratur dan menunggu giliran pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR)Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

Annuar menambah, hari ini juga pihaknya mahu menguji sejauh mana kecekapan dan kemampuan trak bergerak itu memberikan vaksin dalam masa satu jam.

“Sasaran kita satu trak bergerak boleh memberi vaksin antara 500 hingga 600 orang untuk lapan hingga sembilan jam beroperasi.

“Setiap trak vaksin bergerak ini mempunyai empat hingga lima bay termasuk untuk orang kelainan upaya (OKU), empat atas trak dan satu di bawah.

“Kita harap dapat melakukan vaksin 100 orang untuk satu bay sehari,” jelasnya.

Sasaran keseluruhan program imunisasi kepada semua warga PPR/PA DBKL yang lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dijadualkan selepas 7 Jun dan dijangka selesai keseluruhannya pada Oktober 2021.

Proses vaksinasi melalui projek rintis ini dijalankan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang yang dijadualkan selama sehari, dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – MalaysiaGazette