Sin Tee Boy antara OKU yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca di PPV mega Spice Arena Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – “Sememangnya saya sudah bersedia untuk mendapatkan vaksin dan layanan diberikan petugas kesihatan serta sukarelawan di sini membuatkan saya kagum serta lebih selesa”.

Itu pengakuan seorang warga Britain, Toates Nigel David ketika ditanya berhubung pengalaman menerima suntikan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia SPICE Arena di sini hari ini.

Nigel David, 62, berkata, keterujaan untuk menerima vaksin itu sudah lama memandangkan vaksin yang sama juga diambil ibu bapa serta anaknya yang kini menetap di England.

Nigel David menunjukkan selesai menerima dos pertama vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut pesara itu, dia lebih bersemangat sebaik melangkah masuk ke kawasan PPV mega itu ekoran aturan bagi penerima vaksin sangat teratur selain petugas sedia ada yang mesra  membantu orang awam mendapatkan suntikan vaksin.

“Bermula dengan susunan parkir, lokasi pendaftaran hingga ke tempat suntikan vaksin semuanya sangat teratur.

“Malah, sepanjang saya berada dalam kawasan PPV ini tiada sebarang kekecohan atau kesesakan yang boleh mengganggu proses pemberian vaksin.

“Saya sangat kagum dengan pelaksanaan kerajaan Malaysia dan Pulau Pinang dalam menjayakan pelaksanaan vaksin buat rakyat di negara ini, ” katanya yang sudah menetap dalam negara lebih dua tahun selepas berkahwin dengan warga tempatan.

Sementara itu, Sin Tee Boy, 70, yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) mengakui setuju untuk menerima vaksin selepas melihat jangkitan kes Covid-19 naik mendadak.

Wanita yang kudung kaki kiri akibat kencing manis itu memiliki pelbagai penyakit kronik termasuk sakit jantung membuat dirinya takut untuk menerima vaksin sebelum ini.

Sin Tee Boy ditemani anaknya untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca di sini hari ini.

“Selepas mendapat nasihat daripada doktor baru saya memberanikan diri untuk menerima suntikan ini sebagai ‘pelindung diri’.

“Bagi pengalaman selepas divaksin hari ini, tiada sebarang tindak balas buruk setakat ini dan keadaan saya kesihatan sama seperti hari-hari sebelum ini,” jelas Tee Boy.

Sementara itu, Mohamed Ayub Syed Mashood, 61, dari Kampung Melayu, Ayer Itam di sini tidak mempunyai masalah menerima suntikan vaksin kerana mendapat galakan serta dorongan daripada anaknya yang juga petugas barisan hadapan.

Dia hadir bersama isteri bagi meminta kebenaran doktor sama ada kedua-keduanya dapat menerima suntikan pada hari yang sama.

Mohamed Ayub kelihatan tenang ketika menerima suntikan.

“Tarikh penerimaan vaksin isteri saya ialah pada 12 Jun ini dan saya bawa dia bersama supaya mungkin boleh disuntik sekali namun doktor beritahu bahawa dos vaksin hanya disediakan cukup mengikut penerima yang ditetapkan.

“Tidak mengapa, nanti saya akan temankan isteri pula bagi mendapatkan suntikannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tinjauan MalaysiaGazette di PPV mega itu mendapati kemudahan bilik khas disediakan kepada golongan OKU dan warga emas bagi mendapat suntikan vaksin selain bilik suntikan bagi wanita Muslim.

Selain itu, keadaan di PPV juga kelihatan teratur tanpa sebarang kesesakan walaupun hari ini merupakan hari pertama Pulau Pinang menjalankan pemberian suntikan vaksin AstraZeneca.

Untuk rekod, sebanyak 112,350 penduduk negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kategori telah mendaftarkan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca.

Daripada jumlah itu, sebanyak 80,422 didaftarkan individu berusia 18 hingga 59 tahun manakala bagi warga emas berusia 60 ke atas sebanyak 31,928. – MalaysiaGazette