Masih ramai individu gagal mematuhi SOP PKP ditahan dan dikenakan kompaun serta direman.

KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) didapati menurun semalam.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah itu turun lebih 200 kes apabila sejumlah 970 direkodkan semalam berbanding 1,214 pada Ahad lalu.

“Semalam, 970 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 917 individu dikompaun, 49 direman manakala empat lagi dijamin,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 265 merupakan kes tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka  sebanyak 203 kes manakala 133 kes bagi kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis.

Seramai 120 individu pula gagal merekodkan butiran diri atau mendaftar ketika memasuki premis, 117 kes tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, 111 kes kesalahan membawa penumpang berlebihan dan 21 lain-lain kes.

Dalam pada itu, seramai 21 Pendatang Tanpa Izin ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng).

Turut dirampas lima buah kenderaan darat. – MalaysiaGazette